MENGENALI KITAB “AL-INSAN AL-KAMIL” DAN MENJAWAB KEKELIRUAN MENGENAINYA

Kitab al-Insan al-Kamil adalah merupakan karangan Shaykh Abd al-Karim al-Jili (meninggal.832H/1424M) yang berasal dari Baghdad berketurunan Shaykh Abd al-Qadir al-Jaylani yakni bersusur galur kepada Sayyidina Hasan bin Ali bin Abi Talib (ra). Para Ulama Sufi telah menggolongkan kitab al-Insan al-Kamil kepada perbincangan aras tinggi dalam Tasawwuf Irfani.

Kitab ini telah tersebar ke seluruh pelosok Dunia Islam dan sehingga saat ini ia telah berada dalam arena keilmuan Islam selama 600 tahun lamanya. Ia telah dibaca dan dikaji oleh ramai Ulama Muktabar bahkan ada yang mensyarahkannya seperti Imam Abd al-Ghani al-Nabulsi (m.1143H/1733M) dengan kitabnya Kashf al-Bayan, Sharh Ali Zadah Abd al-Baqi ibni Ali, Sharh Imam Ali ibni Hijazi al-Bayyumi (m.1183H/1769M) dan lain-lain.

Di Alam Melayu pula, faham Insan Kamil telah disyarahkan oleh Shaykh Yusuf al-Makassari {m. 1699M) dalam kitab-kitabnya berjudul Zubdah al-Asrar, Taj al-Asrar dan Matalib al-Salikin. Sementara di India, Imam Ahmad Sirhindi (m. 1624M) telah mensyarahkan faham Insan Kamil sebagaimana penulisan beliau mengenainya terhimpun dalam al-Maktubat. Di Yaman pula, faham Insan Kamil telah dikhidmati oleh Shaykh Abu Bakar bin Salim dengan kitabnya Mi’raj al-Arwah.

Kitab Insan Kamil juga telah ditahqiq oleh ramai ilmuan Islam antaranya ialah Shaykh Dr. Abd al-Baqi Miftah al-Jaza’iri, Shaykh Dr.Asim Ibrahim al-Kayyali, Shaykh Dr. Abd al-Rahman al-Shi’ar, Shaykh Dr.Abu Abd al-Rahman Salah ibni Muhammad ‘Uwaydah, Shaykh Dr.Fatin Muhammad Khalil dan lain-lain.

Kitab Insan Kamil telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa antaranya adalah ke dalam bahasa Urdu yang dibuat oleh Mawlana Zahir Ahmad al-Sahwani, ke dalam bahasa Jawi oleh Shaykh Abdullah bin Abd al-Qahhar al-Bantani, dan lain-lain.

Dalam pengalaman sejarah di Alam Melayu sendiri, dicatatkan bahawa faham Insan Kamil pernah diinstitusikan sebagai intipati pendidikan dan halatuju kerajaan. Antaranya ialah Sultan Banten yang ke-4 dan ke-5 iaitu Sultan Abu al-Mafakhir Mahmud Abd al-Qadir (1596M-1651M) dan Sultan Abu al-Ma’ali Ahmad yang mana mereka telah memerintahkan kitab Insan Kamil karangan Shaykh al-Jili ini dimiliki, disalin dan diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan. Ulama yang telah digalaskan tanggungjawab terjemahan kitab tersebut ialah seorang ilmuwan yang berprofilik tinggi iaitu Shaykh Abdullah bin Abd al-Qahhar al-Jawi al-Bantani.

Sejak dari itu, kitab Insan Kamil telah dibuat pengajian di dalam Masjid Hasanuddin Banten dan ia berlangsung selama ratusan tahun oleh para ulama yang layak pada setiap era. Kedatangan Shaykh Yusuf al-Makassari ke Banten menyebabkan kitab tersebut menjadi lebih masyhur dan kukuh.

Baginda Sultan Abu al-Mafakhir juga telah menitahkan untuk diajar kitab “Insan Kamil” di dalam istana dan kefahamannya telah ditekuni oleh Baginda Sultan sehingga beliau muncul terkenal sebagai seorang Sultan yang adil dan soleh. Beliau pernah berutusan surat dengan pengarang Dalil al-Falihin, Shaykh Ibnu ‘Allan di Mekah untuk menanyakan hal ehwal hakikat dan ma’rifat sehingga Shaykh Ibnu ‘Allan menulis sebuah kitab khusus untuk menjawab pertanyaan Baginda Sultan tersebut yang berjudul al-Mawahib al-Rabbaniyyah Fi Jawab al-As’ilah al-Jawiyyah.

Manakala jawapan yang diberikan kepada pengganti Sultan Abu al-Mafakhir iaitu Sultan Abu al-Ma’ali pula ialah kitab berjudul Raf’u al-Hijab ‘an ‘Ara’is al-Khamsah al-Abwab. Dan dengan sebab jawapan balas tersebut membuatkan kedua-dua Baginda Sultan semakin kuat ikatan dengan kitab Insan Kamil dan kitab-kitab makrifat yang lain.

Menjawab Kekeliruan

  1. Baru-baru ini terdapat pihak yang menimbulkan sebuah kemusykilan mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas yang terdapat dalam kitab Insan Kamil dengan tuduhan bahawa Shaykh al-Jili menafsirkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Allah yang Maha Esa. Adakah benar tuduhan itu?

Jawapan:

Sepanjang kitab tersebut tersebar dikalangan Ulama Islam, ini adalah kali pertama kemusykilan mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas dalam kitab Insan Kamil ditimbulkan. Hal tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa seluruh Ulama yang membaca dan mengkaji kitab tersebut selama 600 tahun bersepakat untuk mendiamkan diri terhadap kemusykilan tersebut. Lebih-lebih lagi, antara yang memberi tumpuan kepada faham Insan Kamil adalalah Mujaddid Alfi Thani, Imam Ahmad al-Sirhindi (1034H/1624M), sedangkan untuk beliau mendiamkan diri terhadap perkara tersebut adalah sesuatu yang mustahil. Bahkan dalam al-Maktubat beliau menyokong faham Insan Kamil dan menghuraikannya dengan terperinci.

Selain itu, antara Ulama yang menyokong faham Insan Kamil sebagai cerminan Allah Ta’ala adalah Mulla Ali Qari (w.1014H/1605M) sebagaimana yang tertuang dalam kitab-kitabnya seperti al-Mirqat Sharh al-Mishkat, al-Ma’din al-‘Adani fi Fadli Uways al-Qarni, dan Tafsir Anwar al-Qur’an wa Asrar al-Furqan adalah bukan sesuatu yang tersembunyi lagi. Kedudukan beliau sebagai Nāsir al-Sunnah wa Qāmi’u al-Bid’ah (Penolong Sunnah dan Pembasmi Bid’ah) tidak mungkin berdiam diri terhadap perkara tersebut sedangkan beliau terkenal sebagai ilmuwan yang lantang membantah kefahaman-kefahaman yang menyeleweng dari Aqidah Islam.

Kitab Insan Kamil pertama kali diterjemah ke dalam bahasa Melayu adalah dilakukan oleh seorang Ulama yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk Aqidah iaitu Shaykh AbduLlah bin Abdul al-Qahhar al-Bantani (m.1660M) dan tidak mungkin beliau mendiamkan diri jika maksud sebenar teks kitab tersebut menjurus kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah Tuhan Yang Maha Esa. Manakala pensyarah yang paling aktif kepada faham Insan Kamil di Alam Melayu iaitu Shaykh Yusuf al-Makassari yang keilmuannya diiktiraf di seluruh Alam Melayu dan Afrika Selatan, mustahil beliau tidak menyinggung mengenai tafsiran Surah al-Ikhlas itu jika ia benar-benar menyeleweng.

Penterjemah kitab Insan Kamil ke dalam bahasa Urdu adalah seorang Ulama Deobandi iaitu Mawlana Zahir Ahmad al-Sahwani (m.1908M), juga tidak masuk akal beliau hanya membiarkan sahaja tafsiran Surah al-Ikhlas itu seandainya ia benar-benar merupakan pemesongan dalam memahami al-Qur’an. Bahkan tiada seorang pun Ulama Deobandi yang menentang kitab tersebut. Sedangkan telah menjadi kebiasaan para Ulama Deobandi untuk mengkritik hatta sekecil perkara yang ternyata bercanggah dari ajaran al-Qur’an dan Sunnah.

Telah jelas bahawa hal di atas membuktikan kitab al-Insan al-Kamil telah diterima oleh para Ulama secara Ijma’ Sukuti yakni diamnya majoriti Ulama terhadap kitab tersebut sesuai dengan hadith yang menyebut “Umatku tidak berhimpun di atas kesesatan”.

Oleh yang demikian, tuduhan yang mengatakan kitab Insan Kamil telah menyeleweng Surah al-Ikhlas adalah tidak benar sama sekali. Jangankan Ulama-Ulama besar yang lain, saya sendiri yang merupakan debu kecil ini pasti meninggalkan kitab Insan Kamil dan tidak akan mempertahankannya sama sekali jika ia benar-benar mengajarkan elemen penuhanan Nabi Muhammad ﷺ. Tambahan pula, ia menyentuh sesuatu yang menjadi Aqidah yang paling asas dan bersifat fundamental dalam hal Ketuhanan. Namun kita tidak jumpa perkara yang dituduh sebagai menyeleweng tersebut, sebaliknya, apa yang dijumpai ialah penekanan yang lebih mendalam terhadap Keesaan Allah Ta’ala.

Setakat pembacaan kami, belum pernah dijumpai mana-mana Ulama Muktabar yang menulis kitab khusus sebagai kritikan (radd) terhadap kitab Insan Kamil karangan Shaykh al-Jili, apatah lagi tafsiran Surah al-Ikhlas di dalamnya. Demikian adalah kerana kandungan kitab Insan Kamil sama sekali tidak mendakwa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Tuhan, bahkan tiada seorang ulama pun yang membaca tafsiran Surah al-Ikhlas dalam kitab tersebut lalu memahami bahawa Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Tuhan. Na’uzu biLlah min zalik.

سبحانك هذا بهتان عظيم

  1. Mengapa tafsiran Shaykh al-Jili terhadap Surah al-Ikhlas adalah berbeza dari tafsiran yang biasa kita jumpa dalam kitab-kitab Tafsir muktabar yang lain ?

Jawapan:

Setiap kitab dan buku, ada metod pembacaan dan istilah-istilah yang digunakan oleh pengarang, lebih-lebih lagi kitab Tasawwuf aras tinggi seperti kitab Insan Kamil yang sudah tentu mempunyai gaya penyampaian dan istilah-istilah khusus dengan pengertian batin yang dimaksudkan selain dari apa yang biasanya dimaksudkan oleh penggunaannya di kalangan para Ulama lain. Maka tidak adil jika seseorang cuba untuk menafsirkannya mengikut penggunaan yang zahir kerana ia dapat mengundang kesalahfahaman terhadap apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh pengarang.

Perlu difahami bahawa tafsiran al-Qur’an oleh para Ulama Sufi dipanggil sebagai tafsir isyari. Meskipun namanya begitu, tetapi, ia bukanlah sebenarnya Tafsir al-Qur’an yang berada di atas disiplin Ilmu Tafsir yang biasanya digunakan oleh para Mufassirin. Sebaliknya, ia adalah merupakan kefahaman-kefahaman yang dibuka oleh Allah kepada sesetengah hambaNya untuk memahami lapisan yang lebih mendalam dari makna zahirnya tanpa ditolak makna zahir tersebut.

Oleh kerana itu, Imam al-Sarraj dalam al-Luma’ tidak menamakannya tafsir isyari, tetapi memanggilnya sebagai al-Mustanbatat iaitu kefahaman-kefahaman yang digali daripada nas. Ulama Sufi lain menamakan kefahaman terhadap lapisan batin kepada al-Qur’an sebagai al-Ta’wilat seperti Imam Najm al-Din al-Razi dan Imam abd al-Razzaq al-Qashani untuk kitab tafsir mereka. Ada pula yang memanggilnya sebagai al-Isharat sebagaimana Imam al-Qushayri. Maka tidak tepat jika seseorang cuba menyamakan kedudukan Ilmu tafsir yang sebenar dengan tafsir isyari kerana kedua-duanya adalah berbeza dari segi sifat ilmu dan disiplinnya. Tambahan pula, kitab al-Insan al-Kamil bukanlah kitab tafsir, tetapi kitab Tasawwuf.

Dalam Jawahir al-Qur’an (al-Fasl al-‘Āshir), Imam al-Ghazali menegaskan bahawa sememangnya terdapat sekumpulan ilmuwan yang terperangkap dalam kekeliruan dengan menafikan wujudnya ilmu-ilmu yang tinggi dan penjelasan hakikat yang tersirat secara mendalam disebalik ayat-ayat al-Qur’an. Ekoran kelemahan diri dan kekeliruan tersebut, akibatnya mereka menyangka bahawa mereka telah menguasai semua ilmu dan hanya ilmu yang mereka kuasai sahaja yang patut dianggap ilmu. Mereka memperkecilkan pencapaian orang lain yang sebenarnya lebih mendalam dan menyeluruh. Mereka mudah menuduh dan melabelkan orang yang ternyata lebih jelas sempurna ilmu dan hujahnya sebagai terpesong dan tidak suci.

Selanjutnya Imam al-Ghazali berkata, “Ketahuilah olehmu dengan yakin bahawasanya rahsia disebalik alam nyata itu terhalang dari hati yang kotor dengan cinta dunia, yang kebanyakan perhatiannya adalah mencari perkara-perkara fana’ (binasa) dan sementara. Sesungguhnya kami menyampaikan ilmu ini (Ilmu Hakikat) hanya untuk mendorong dan memotivasi, sekaligus mengingatkan akan salah satu rahsia al-Qur’an. Sesiapa pun melalaikan rahsia ini, maka kulit-kulit al-Qur’an tidak akan memperlihatkan mutiara-mutiara yang terkandung di dalamnya. Jika keinginanmu sudah benar, dan semangatmu untuk mencari sudah kuat, ditambah engkau mencari bantuan menerusi orang-orang yang sudah kuat mata batinnya, sehingga engkau mendapat tambahan kekuatan dari mereka, maka apa pun yang aku perlihatkan kepadamu akan engkau dapatkan. Namun, seandainya engkau mengerjakan semua ini seorang diri dengan bantuan akal dan fikiranmu semata-mata, bagaimana engkau boleh memahaminya?. Sedangkan engkau sendiri tidak memahami akan kewujudan lisan al-hal (bahasa keadaan) kerana engkau menyangka tiada pengucapan di alam ini kecuali hanya dengan lisan al-maqal (bahasa yang diucap dengan mulut)”.

  1. Kemusykilan berikutnya adalah berkenaan Shaykh al-Jili menafsirkan huwa (dia) dalam Surah al-Ikhlas kepada Insan Kamil yang mana kedudukannya yang tertinggi adalah Nabi Muhammad ﷺ. Bukankah ia membawa makna bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Allah yang Maha Esa?

Jawapan:

Apabila seseorang benar-benar memahami konteks yang ingin disampaikan oleh Shaykh al-Jili dalam kitabnya, pasti ia tidak membawa kepada kesimpulan bahawa Nabi Muhammad ﷺ adalah Allah yang Maha Esa atau membawa kepada bersatunya (hulul dan ittihad) antara Nabi Muhammad ﷺ dan Allah Ta’ala.

Topik perbincangan yang diketengahkan oleh Shaykh al-Jili dalam kitabnya adalah mengenai pengenal yang paling ideal dalam kemuncak penciptaan kepada Kesempurnaan Allah Ta’ala. Maka makhluk adalah merupakan pengenal kepada Allah Ta’ala dan Nabi Muhammad ﷺ adalah makhluk yang paling utama dalam menerima penzahiran kesempurnaan dari Allah Ta’ala maka Bagindalah yang paling sempurna sebagai pengenal kepada Allah Ta’ala.

Selain RasuluLlah ﷺ, para Rasul dan Nabi adalah pengenal yang paling utama pada zaman mereka. Kemudian diikuti oleh para Wali-Wali Allah yang berada pada setiap zaman dan di antara mereka ada yang mempunyai kedudukan tertinggi berbanding yang lain. Kedudukan tersebut dinamakan dengan istilah “Insan Kamil”.

Selain istilah Insan Kamil, terdapat Ulama Sufi yang lain menggunakan istilah-istilah yang berbeza seperti SuratuLlah, NuskhatuLlah, ‘AynuLlah, Mir’atuLlah, NuruLlah, ZilluLlah, al-Mutakhalliq bi AkhlaqiLlah, al-Majla al-A’zam, al-Mishkat, al-Qutb, al-‘Abd al-Kamil dan lain-lain, yang mana semua istilah tersebut menunjuk kepada makna yang sama iaitu manusia yang paling sempurna dalam menerima penzahiran (tajalli) dari Allah Ta’ala.

Berkenaan kalimah huwa (dia) dalam Surah al-Ikhlas yang Shaykh al-Jili merujuk kepada Insan Kamil yang kemuncaknya ialah Nabi Muhammad ﷺ adalah bermaksud Nabi Muhammad ﷺ merupakan pengenal yang paling sempurna kepada Allah yang Maha Esa. Dan BUKAN bermaksud Nabi Muhammad ﷺ adalah Allah yang Maha Esa sepertimana yang disalahfahami oleh sesetengah pihak, yang menatijahkan kefahaman bahawa Baginda ﷺ itu adalah Tuhan dan Tuhan itu adalah Baginda ﷺ atau kedua-duanya bergabung dan bersatu. Na’uzubiLlah min zalik.

Padahal, tafsiran Shaykh al-Jili ini sedikit pun tidak menjejaskan bahawa hakikat ayat pertama Surah al-Ikhlas adalah untuk menerangkan Keesaan Allah Ta’ala, hanya saja Shaykh al-Jili menafsirkannya secara isyari dengan memperincikan makna Keesaan Allah itu bahawasanya makhluk adalah tidak terlepas dari pengertian Keesaan Allah dan makhluk yang paling sempurna adalah Nabi Muhammad ﷺ diikuti oleh hamba-hamba Allah lain yang memiliki kedudukan yang tinggi disisi Allah.

Shaykh al-Jili bukanlah orang pertama yang mengembalikan kalimah huwa yang pada asalnya dirujuk kepada Allah Ta’ala kemudian dialih kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana ia juga dilakukan oleh Ulama muktabar yang lain sebelum beliau.

Kalimah “huwa” dengan membawa maksud Huwiyyah (kediaan) iaitu ‘pengenal kepada Allah’ telah dibincang oleh Ulama yang jauh lebih awal dari Shaykh al-Jili iaitu Imam Abu al-Hakam Ibnu Barrajan (meninggal di Marakesh, Maghribi tahun 536H/1141H). Dalam kitab tafsirnya berjudul Tanbih al-Afham iaitu pada bahagian Muqaddimah (j.1, ms.63-64), Imam Ibnu Barrajan menyatakan bahawa Nama-Nama Allah seperti al-Awwal, al-Akhir, al-Zahir, al-Batin, al-Qarib dan lain-lain adalah mengenalkan Allah Ta’ala pada sudut KediaanNya yang mana Allah Ta’ala bersifat Esa secara Qadim dan Azali, maka apabila Allah Ta’ala menciptakan makhluk keseluruhannya, Dia tetap padanya dan bersama dengannya secara KediaanNya pada penciptaan (al-khalq) dan urusan (al-amr). Lalu kepada siapa yang dikehendaki Allah untuk dikurniakan penzahiran Nama-NamaNya maka hamba itu dipilih menjadi lebih tinggi kedudukannya dan lebih sempurna berbanding yang lain dalam menjadi jalan pengenalan kepada Allah Ta’ala.

Mulla Ali al-Qari dalam Sharh al-Mishkat (no.5596), beliau menjelaskan bahawa Nabi Muhammad ﷺ layak bernama dengan nama Awwal, Akhir, Zahir dan Batin disebabkan Baginda ﷺ menerima tajalli yang sempurna dari Allah Ta’ala (fa huwa al-awwal wa al-akhir wa al-zahir wa al-batin wa huwa mazhar al-kull al-mu’abbar ‘anhu bi annahu mazhar al-jami’ al-musamma biLlah).

Beliau juga mengatakan bahawa Nabi Muhammad ﷺ yang merupakan Mukmin Kamil adalah yang terutama dalam menerima penzahiran kesempurnaan dari Allah Ta’ala maka Baginda ﷺ adalah cermin yang teragung dalam menzahirkan Sifat KeindahanNya kemudian diikuti oleh para Nabi-Nabi dan Wali-Wali Allah dan kemudian diikuti oleh orang-orang Mukmin yang lain berdasarkan martabat masing-masing yang berbeza-beza umpama cermin-cermin yang banyak memantulkan atau menunjukkan kepada Zat yang Maha Esa bernama al-Mu’min sesuai dengan hadith yang berbunyi “al-Mu’min mir’at al-Mu’min” yang bermaksud “Mukmin adalah cerminan al-Mu’min”. (Mirqat al-Mafatih Sharh Mishkat al-Masabih, j.9, Bab al-Shafaqah wa al-Rahmah ‘ala al-Khalq, hadith no.4985).

Imam Ibnu Atiyyah (w.546H/1151M) dalam kitab tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, ketika menafsirkan Firman Allah Ta’ala mengenai peristiwa Isra wa Mi’raj:

لِنُرِيَهُ مِن آياتِنا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ
(Surah al-Isra’:1)

Beliau menyebutkan bahawa antara maksud yang boleh diertikan dengan ayat ini ialah Allah Ta’ala memperjalankan Nabi Muhammad ﷺ dalam peristiwa Isra’ wa Mi’raj agar manusia melihat dengan matahati bahawa Baginda ﷺ adalah merupakan Ayat Ilahi (tanda Kebesaran Allah) yang teragung. Oleh kerana itu, ayat yang berikutnya terdapat isyarat yang halus dan mendalam bahawa damir huwa (kata ganti dia) pada ayat innahu huwa (sesungguhnya dia) kembali kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka yang dimaksudkan dengan al-Sami’ (amat mendengar) dan al-Basir (amat melihat) ialah merujuk kepada Nabi Muhammad ﷺ, yakni Baginda ﷺ mendengar segala pendustaan orang kafir terhadap peristiwa Isra wal Mi’raj, dan lihat tindakan perbuatan mereka terhadap Rasulullah ﷺ.

Bersangkutan hal tersebut, Imam Abu al-Baqa’ al-‘Ukbari al-Baghdadi (w.616H/1219M) dalam al-Tibyan fi I’rab al-Qur’an (Surah al-Isra’, ms.811) menyatakan bahawa dari segi bahasa Arab, damir huwa boleh kembali kepada dua marja’ (tempat kembali) iaitu Allah Ta’ala dan Nabi Muhammad ﷺ, yang membawa maksud “Sesungguhnya dia ﷺ amat mendengar Kalam Kami dan yang amat melihat Zat Kami (innahu huwa al-sami’ li kalamina wa al-basir li dhatina).

Sehubungan dengan itu, Imam al-Tibi (w.743H/1342M) dalam kitab tafsirnya Futuh al-Ghayb: al-Hashiyah ‘ala al-Kashshaf (Muqaddimah Surah al-Isra’ dan ayat pertama Surah al-Isra’) menyatakan bahawa damir huwa dalam ayat إِنَّهُ هُوَ السَّميعُ البَصيرُ dari segi bahasa boleh kembali kepada Allah Ta’ala dan juga kepada Nabi Muhammad ﷺ. Rahsia disebalik bolehnya huwa kembali kepada dua marja’ ialah ia menjadi isyarat kepada keistimewaan kedudukan Nabi Muhammad ﷺ sebagai manusia yang paling sempurna menerima penzahiran Pendengaran dan Penglihatan Allah sebagaimana yang di sebutkan dalam Hadith Qudsi bahawa Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman, “Aku menjadi Pendengarannya yang dengannya dia mendengar dan Aku menjadi Penglihatannya yang dengannya dia melihat”.

  1. Tafsiran Surah al-Ikhlas yang dibuat oleh Shaykh al-Jili dalam kitabnya al-Insan al-Kamil tidak pernah dijumpai dalam mana Tafsir-Tafsir sebelumnya hatta tidak terdapat dalam mana-mana kitab Tafsir Isyari yang lain. Mengapa tidak memadai hanya menggunakan tafsiran Surah al-Ikhlas dari kitab tafsir Muktabar seperti Tafsir Tabari, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain?

Jawapan:

Dalam menggali kefahaman dari ayat al-Qur’an, tidak disyaratkan bahawa tafsir tersebut mesti sudah termaktub dalam Tafsir-Tafsir sebelumnya kerana rahsia kefahaman ayat-ayat al-Qur’an akan terus digali sehingga hari Qiamat. Selagimana kefahaman atau tafsir isyari itu tidak menyalahi al-Qur’an dan Sunnah maka tidak ada penghalang untuk menerima kefahaman tersebut dengan syarat tidak berkeyakinan bahawa sesuatu ayat al-Qur’an itu hanya bermaksud dengan kefahaman yang dibukakan kepadanya.

Shaykh al-Mubarakfuri (rah) dalam Tuhfah al-Ahwadhi telah menukilkan kalam Imam al-Naysaburi dari Tafsirnya bahawa beliau mengatakan bahawasanya para sahabat RasuluLlah ﷺ telah menafsirkan al-Qur’an dan mereka berselisih dalam penafsiran masing-masing yang mana bukan semua penafsiran yang diberikan adalah dari apa yang mereka dengar dari Rasulullah ﷺ, kerana jika mereka mesti menafsirkan hanya menurut apa yang mereka dengar dari Baginda ﷺ, maka pengkhususan takwil yang didoakan RasuluLlah ﷺ buat Sayyidina Ibnu Abbas (ra) akan hilang kepentingannya. Menurut beliau, jenis takwil yang dilarang ialah yang dilakukan dengan hawa nafsu atau yang dilakukan dalam keadaan menolak tafsiran yang zahir.

Saya bersepakat dengan pandangan bahawa tafsiran Surah al-Ikhlas yang perlu diajarkan kepada masyarakat awam ialah sebagaimana yang terdapat dalam Tafsir-Tafsir muktabar. Demikian adalah kerana tafsiran Surah tersebut dalam kitab al-Insan al-Kamil sepatutnya hanya dibincangkan dalam keadaan tertutup bersama ahli-ahlinya atau dalam majlis-majlis yang khusus kerana ia merupakan perbincangan Tasawwuf Irfani peringkat tinggi yang boleh disalahfahami jika orang yang tidak berkeahlian cuba untuk membacanya sendiri tanpa panduan. Lebih-lebih lagi kitab al-Insan al-Kamil adalah kitab Tasawwuf bukan kitab Tafsir.

Oleh itu, ia tidak sepatutnya didedahkan di mimbar-mimbar masjid dan surau kepada masyarakat awam melainkan untuk memberi penjelasan dan pencerahan, kerana tafsiran Surah al-Ikhlas dari Tafsir-Tafsir muktabar adalah sudah cukup memadai buat mereka.

Adapun faktor yang menyebabkan tafsiran Surah al-Ikhlas oleh Shaykh al-Jili kebelakangan ini timbul bukan kerana ada yang mengajarnya kepada masyarakat awam, akan tetapi ia bermula apabila pada tahun lepas ada pihak yang memuatnaik video yang memaparkan perbincangan kitab tersebut oleh Sidi Rohimuddin di Acheh. Sedangkan majlis tersebut adalah merupakan perjumpaan para Ulama Tasawwuf dan Tareqat, dan saya sendiri hadir dalam majlis tersebut.

Walaubagaimanapun, saya tetap yakin bahawa pasti ada hikmah disebalik Aturan Allah yang indah ini untuk kita manusia mengambil pelajaran dan iktibar. Bagi para pembaca yang ingin mendalami faham Insan Kamil dan tafsiran Surah al-Ikhlas di dalamnya, dibawah ini disertakan beberapa penerangan yang sangat baik dan tuntas mengenainya.

  1. Oleh Prof.Madya Dr.Abdul Manam, Ahli Panel Tasawwuf JAKIM

  1. Oleh Maulana Ihsan Abu Bakar

Disediakan oleh: iqbal zain al-jauhari